DR Md Amin melancarkan ILMU menerusi rakaman video yang ditayangkan menerusi Facebook Live.
DR Md Amin melancarkan ILMU menerusi rakaman video yang ditayangkan menerusi Facebook Live.
HM Digital

KESUKARAN mengharungi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam krisis penularan pandemik Covid-19 terpaksa dilalui mahasiswa dan tidak kurang ada yang mengalami tekanan.

Mereka sukar menyiapkan tugasan kerana tidak dapat pulang ke kampus untuk menggunakan perkhidmatan perpustakaan semaksimum mungkin, malah akses kepada sumber ilmu juga terhad.

Justeru, Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertindak proaktif menyediakan kemudahan portal yang membolehkan mahasiswa mengakses bahan di perpustakaan secara digital tanpa mengira masa dan tempat.

Baru-baru ini Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff melancarkan Pustaka Knowledge Portal (Pustaka) yang dibangunkan sepenuhnya kakitangan PTB.

Ia memuatkan lebih daripada tiga juta bahan digital sama ada dalam bentuk buku, makalah, jurnal dan sebagainya yang boleh diakses di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Beliau berkata, dalam keadaan perpustakaan terpaksa ditutup dan mahasiswa tidak dapat pulang ke kampus menyebabkan berlaku gangguan terhadap proses pemerolehan bahan.

"Menerusi penggunaan Pustaka ini, mahasiswa boleh mengakses bahan dengan menggunakan peranti 'mobile' ataupun komputer.

"Justeru, mahasiswa perlu menggunakan kemudahan ini sebaik mungkin untuk tujuan membantu memantapkan pengajaran dan pembelajaran, malah menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat berilmu," katanya.

Inisiatif kakitangan PTB mewujudkan Pustaka bermula pada 2002 apabila PTB mula mengorak langkah menggunakan sistem perpustakaan bersepadu ke arah pendigitalan perkhidmatan.

Sebelum ini PTB menggunakan Integrated Library Management Utility atau ILMU selama 19 tahun, namun peredaran masa menuntut inovasi dilakukan supaya sistem bertambah baik.

Pemangku Ketua Pustakawan, Noriha Muhammad berkata, PTB kini mengorak langkah dalam era pemodenan perkhidmatan dalam talian dengan pengenalan portal baharu yang memberi penekanan dengan meletakkan sumber bahan terus di muka hadapannya.

Beliau berkata, ia selaras dengan penaik tarafan sistem utama PTB pada tahun lalu, pengenalan portal baharu itu memberikan keserasian yang lebih baik.

"Jika dahulu, pengguna perlu log masuk dalam beberapa portal berasingan untuk menggunakan sumber yang dilanggan pihak perpustakaan seperti pangkalan data dalam talian, namun kini dengan kemudahan 'single-sign-on' pengguna tidak lagi perlu berbuat demikian.

"Pengguna akan dipersembahkan dengan mekanisme log masuk sekali sahaja untuk mengakses jutaan bahan bacaan dalam talian di samping akses kepada metadata bahan fizikal yang terdapat dalam simpanan PTB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 6:31 AM