ANTARA 31 penagih dadah yang ditahan selepas AADK Perlis menggempur sarang penagihan dadah di sekitar Mukim Beseri, Chuping, Padang Besar dan Sanglang bermula pada Khamis lalu. FOTO Ihsan AADK Perlis
ANTARA 31 penagih dadah yang ditahan selepas AADK Perlis menggempur sarang penagihan dadah di sekitar Mukim Beseri, Chuping, Padang Besar dan Sanglang bermula pada Khamis lalu. FOTO Ihsan AADK Perlis
Aizat Sharif

Kangar: Tiga beradik termasuk dua berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) adalah antara 31 individu yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis selepas menggempur sarang penagih dadah di sekitar Mukim Beseri, Chuping, Padang Besar dan Sanglang bermula Khamis lalu.

Pengarah AADK Perlis, Khairul Anwar Ahmad berkata, dalam Ops Perdana AADK Negeri Perlis yang berakhir semalam, pihaknya berjaya menyerbu 'port' penagihan dadah seperti pondok kosong dan kediaman hasil maklumat orang ramai.

Katanya, daripada 31 penagih dadah yang ditahan termasuk seorang wanita itu berusia lingkungan 16 hingga 50 tahun.

"Antara yang ditahan adalah tiga beradik berusia 27 hingga 36 tahun yang didapati menagih dadah sejak 10 tahun lalu," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, tiga beradik itu pernah ditangkap serta mempunyai rekod pengawasan bersama AADK Perlis.

"Malah, salah seorang daripada mereka pernah ditempatkan di Pusat Penagihan Narkotik (PUSPEN) dan mereka ini tinggal bersama seorang lagi saudara perempuan," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing terhadap semua suspek mendapati mereka positif dadah syabu.

Kesemua yang ditahan diambil tindakan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 2:26 PM