RAKAMAN kejadian curi di sebuah kedai makan. FOTO tular
RAKAMAN kejadian curi di sebuah kedai makan. FOTO tular
Nurul Amanina Suhaini


Kota Tinggi: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang memecah masuk sebuah kedai makan dan mencuri sekampit beras dan susu di Jalan Indah, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu bersendirian.

"Laporan polis diterima di Balai Polis Kota Tinggi. Setakat ini belum ada tangkapan dibuat.

"Hanya sekampit beras iaitu 10 kilogram dan satu kotak susu hilang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih dilakukan termasuk penelitian menerusi rakaman litar tertutup.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di Facebook (FB) kejadian kecurian berlaku di sebuah kedai makan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 6:34 PM