Anggota bomba dan penyelamat mengangkat jenazah Mohd Shahrudin yang ditemui lemas di pantai Sungai Ular, Kuantan. FOTO IHSAN JBPM Pahang
Anggota bomba dan penyelamat mengangkat jenazah Mohd Shahrudin yang ditemui lemas di pantai Sungai Ular, Kuantan. FOTO IHSAN JBPM Pahang
Asrol Awang


Kuantan: Nelayan yang tenggelam ketika berenang di pantai Sungai Ular, di sini, semalam, ditemukan lemas, hari ini.

Mayat mangsa Mohd Shahrudin Remeli, 25, dari Kampung Seberang Sungai Ular, di sini, ditemukan kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng, Rosdan Zakaria berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

"Anggota Pasukan Polis Marin (PPM) menemui mayat mangsa kira-kira 200 meter dari lokasi dia terjatuh dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya ketika dihubungi, di sini.

Rosdan berkata, operasi SAR disambung pagi ini dengan lokasi pencarian diperluaskan sehingga 1.5 kilometer selepas ditangguhkan pada malam tadi.

Portal Harian Metro semalam melaporkan mangsa dikhuatiri lemas ketika berenang ke darat dipercayai akibat mengalami kekejangan pada 4.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 4:34 PM