GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Lelaki berusia 20-an cedera akibat dipukul individu tidak dikenali menggunakan topi keledar dalam kejadian di sebuah kedai di Sungai Tiram di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa dipercayai dipukul lelaki yang dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Baru pada hari sama.

Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa didatangi lelaki berusia 30 tahun terbabit sebelum tiba-tiba dipukul menggunakan topi keledar.

Lelaki terbabit kemudian melarikan diri menaiki kereta Suzuki Swift sebelum dilaporkan terbabit dalam kemalangan maut berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, siasatan berhubung kejadian masih dijalankan termasuk dakwaan lelaki yang terbabit dalam kemalangan maut adalah suspek dalam kes pukul berkenaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, tular dakwaan wanita yang memuat naik satu status di Facebooknya mengatakan adiknya mengalami kecederaan pada muka akibat dipukul pemandu kereta itu.

Media semalam melaporkan lelaki berusia 30-an maut selepas kereta dipandunya merempuh tiga kenderaan di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini.

Dalam kejadian 2.50 petang itu, tiga lagi lelaki cedera apabila kenderaan mereka dirempuh kereta mangsa yang hilang kawalan di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 3:31 PM