SUSPEK ditahan jam 1 pagi tadi kerana melakukan khianat membakar motosikal. FOTO ihsan polis
SUSPEK ditahan jam 1 pagi tadi kerana melakukan khianat membakar motosikal. FOTO ihsan polis
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Gara-gara cinta ditolak, lelaki tempatan berusia 68 tahun bertindak membakar motosikal seorang wanita di Jalan Macallum, di sini, Ahad lalu.

Perbuatan itu menyebabkan empat lagi motosikal yang diletakkan berhampiran terbakar.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek berjaya ditahan di rumahnya di Lebuh Cecil, pada jam 1 pagi tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan khianat itu kerana cintanya terhadap seorang wanita warga asing tidak dibalas.

"Suspek bertindak membakar motosikal wanita berkenaan menyebabkan motosikal yang terletak berhampiran turut terbakar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

"Suspek yang ditahan pagi tadi, dikenakan reman selama sehari serta dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 4:34 PM