Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Mula mengambil dadah sejak berusia 11 tahun dan pernah ditangkap sebanyak 36 kali.

Itu dilalui seorang penagih tegar berusia 50-an yang dianggap 'otai' dalam kalangan penagih di Jalan Raja Bot, di sini.

Dia antara 50 individu yang ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dalam Op Sarang yang dijalankan awal pagi tadi.

Dalam operasi bermula pada 3.30 pagi itu, tiga lokasi iaitu di Jalan Raja Bot, Jalan Chow Kit dan Jalan San Peng yang menjadi lokasi tumpuan penagih digempur polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, seramai 50 individu berusia 20 hingga 50 tahun berjaya ditahan dalam operasi terbabit.

"Operasi dijalankan di sekitar penempatan, pasar dan hotel bajet yang menjadi tumpuan penagih dadah.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

"Kebanyakan individu yang ditahan adalah pekerja di kawasan sekitar terutama di Pasar Chow Kit," katanya selepas tamat operasi terbabit di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, menerusi operasi yang dijalankan, pihaknya juga mengenal pasti pembekal dadah di kawasan ini.

"Ada antara mereka sudah ditahan dan ada yang masih 'beroperasi'. Mereka masih dalam radar polis dan akan diambil tindakan.

"Semua individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Chow Kit untuk ujian saringan Covid-19 sebelum dihantar ke IPD Dang Wangi bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 8:37 AM