Tinjauan di Pengkalan Haram Rantau Panjang yang dijadikan lokasi kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Thailand akan diseludup masuk ke Malaysia menerusi pengkalan haram di sempadan Kelantan melalui Sungai Golok. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tinjauan di Pengkalan Haram Rantau Panjang yang dijadikan lokasi kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Thailand akan diseludup masuk ke Malaysia menerusi pengkalan haram di sempadan Kelantan melalui Sungai Golok. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Dengan bayaran serendah RM200, pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Thailand akan diseludup masuk ke Malaysia menerusi pangkalan haram di sempadan Kelantan.

Malah, tekong turut memberi jaminan akan membawa mereka masuk dengan selamat sebelum dibawa ke Lembah Klang untuk mencari pekerjaan terutama di kedai makan.

Tidak cukup dengan itu, sindiket juga akan menggunakan pelbagai cara termasuk mengintip pergerakan pasukan keselamatan sebelum membawa masuk Pati berkenaan melalui Sungai Golok.

Itu modus operandi yang digunakan sindiket penyeludupan Pati memandangkan permintaan yang tinggi daripada kedua-dua negara terutama menjelang Ramadan.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9), Superintendan Nor Azizan Yusof, cubaan membawa masuk Pati dari Thailand dikesan mula aktif sejak sebulan lalu.

Katanya, ia susulan permintaan tinggi daripada kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Thailand susulan penutupan pintu sempadan akibat Covid-19.

"Kebanyakan mereka sudah terdesak untuk masuk ke Malaysia demi mencari pekerjaan selepas pulang akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

"Pada masa sama, terdapat permintaan tinggi dari Malaysia terutama membabitkan perniagaan kedai makan termasuk tukang masak.

"Sebaik dibawa masuk melalui pangkalan haram, kenderaan khas sudah menunggu mereka untuk dibawa ke Lembah Klang," katanya ketika dihubungi.

Nor Azizan berkata, walaupun sindiket berkenaan menggunakan pelbagai taktik licik, namun pihaknya akan memperketatkan kawalan di sempadan.

"Kita yakin cubaan kemasukan Pati ke negara ini lebih tinggi selepas ini dan saya sudah mengarahkan anggota yang bertugas supaya memperketat kawalan.

"Hasil risikan kami sebelum ini membuahkan hasil apabila berjaya menahan seorang tekong yang membawa 35 Pati di Wakaf Che Yeh, kelmarin," katanya.

Media semalam melaporkan, tindakan berani seorang tekong menyeludup 35 Pati menggunakan bas, membawa padah apabila kegiatannya dikesan PGA9 di Wakaf Che Yeh, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, anggota pasukan keselamatan membuat rondaan sebelum terserempak sebuah bas jenis Scania selain kereta Toyota Inova dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 22 lelaki dan 13 perempuan serta seorang kanak-kanak disyaki warganegara Thailand yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Seorang daripada suspek warga tempatan mengakui menjadi tekong untuk menyeludup kesemua Pati berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 3:00 PM