KAKITANGAN serta keluarga kedutaan Korea Utara tiba di KLIA. FOTO Noor Atiqah Sulaiman
KAKITANGAN serta keluarga kedutaan Korea Utara tiba di KLIA. FOTO Noor Atiqah Sulaiman
Noor Atiqah Sulaiman


Sepang: Seramai 33 wakil, kakitangan dan keluarga kedutaan Korea Utara dijadualkan pulang ke negara asal mereka, 4 petang ini.

Kesemua mereka akan menaiki penerbangan Shanghai Airlines FM0086 dan transit di Pudong, China sebelum ke Pyongyang.

Terdahulu mereka tiba di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 11.45 pagi tadi menaiki bas persiaran.

Turut dilihat tiba di KLIA ialah Konsulat Kedutaan Korea Utara, Kim Yu Song bersama ahli keluarganya.

Kesemua mereka selesai mendaftar di kaunter mendaftar masuk pada 2.15 petang tadi sebelum dibawa ke Bilik khas kenamaan di tingkat 5, KLIA.

Jumaat lalu, media melaporkan Kementerian Luar Negeri mengarahkan semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan ahli keluarga meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.

Tindakan tegas itu diambil selepas Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, ekoran seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong, diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata Malaysia berhak melindungi hak dan kedaulatannya sebagai tindak balas terhadap keputusan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatiknya dengan negara ini.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 3:07 PM