PESAWAT tanpa pemandu (UAS) ScanEagle milik TLDM yang mula digunakan untuk meningkatkan keupayaan risikan, pengawasan dan peninjauan ATM.
PESAWAT tanpa pemandu (UAS) ScanEagle milik TLDM yang mula digunakan untuk meningkatkan keupayaan risikan, pengawasan dan peninjauan ATM.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Mampu melakukan tugas risikan di darat dan laut pada ketinggian hampir 19,500 kaki (5,943 meter) serta terbang tanpa henti selama 12 jam.

Itu antara kehebatan Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) ScanEagle yang menjadi aset ketenteraan terbaharu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai lebih RM180 juta.

Pastinya UAS buatan Amerika Syarikat atau dron ini dapat meningkatkan keupayaan TLDM dalam pengumpulan maklumat risikan, pengawasan dan peninjauan keselamatan serta maritim terutama di zon 'panas' termasuk di Perairan Timur Sabah.

UAS dengan kelajuan maksimum 150 kilometer sejam ini dan seberat 22 kilogram diyakini mampu memperkuatkan sistem pertahanan negara dengan dikendalikan Skuadron 601 berpangkalan di Teluk Sepanggar, Sabah.

MOHD Reza melihat lebih dekat UAS ScanEagle.
MOHD Reza melihat lebih dekat UAS ScanEagle.

Jurucakap Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintah Armada Timur berkata, Skuadron Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (Unmanned Aerial System) atau UAS atau lebih dikenali sebagai Skuadron 601 dilancarkan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany di Stesen Udara TLDM Kota Kinabalu, Sabah, kelmarin.

Majlis turut dihadiri wakil Kedutaan Amerika Syarikat, Atase Pertahanan Kanan Kapten Muhammad Muzzafar Feroze Khan.

Malah, buat pertama kali TLDM berjaya menerbangkan UAS ScanEagle dikendalikan sendiri oleh Pegawai Memerintah Skuadron 601, Komander Mohd Khalid Ahmad Zakaria.

Menurutnya, pelancaran Skuadron 601 itu melakar sejarah baru dalam pasukan TLDM sebagai skuadron UAS pertama diwujudkan dan beroperasi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

UAS ScanEagle juga boleh dilancarkan dari kapal TLDM.
UAS ScanEagle juga boleh dilancarkan dari kapal TLDM.

"Pengoperasian UAS akan memberi kelebihan kepada TLDM dalam aspek Intelligence, Survillance, Recconaisance (ISR) di seluruh perairan negara serta meningkatkan pengawasan maritim dan mempertahankan integriti wilayah perairan negara.

"Pada peringkat awal ini, UAS ScanEagle akan beroperasi di daratan sebagai fasa latihan kepada pengendali untuk memahirkan diri dalam sistem itu sebelum ditempatkan di atas kapal-kapal TLDM.

"Pesawat UAS ScanEagle adalah pesawat buatan syarikat Boeing-Insitu yang dibekalkan kerajaan Amerika Syarikat kepada kerajaan Malaysia menerusi program Inisiatif Keselamatan Maritim (MSI).

"Kemudahan itu mula diterima TLDM pada 6 Mei 2020 membabitkan enam pesawat, dua pelancar, 2 skyhook dan 3 Ground Control Station (GCS) bernilai RM180 juta," katanya.

Sementara itu, dalam sidang media Muhammad Muzzafar memaklumkan 12 lagi pesawat ScanEagle akan dihantar ke Malaysia menjelang pertengahan tahun ini sehingga awal 2022.

"Latihan operasi selama 12 bulan dibimbing oleh wakil syarikat Boeing-Insitu mula dilaksanakan oleh kru operasi Skuadron 601. Penerbangan sulung bagi pesawat ScanEagle berjaya dilaksanakan pada 5 Februari 2021 yang lalu.

"Latihan operasi ini adalah salah satu daripada fasa pembangunan UAS TLDM bertujuan melahirkan kru operasi yang kompeten serta mampu mengendalikan sistem dengan baik.

Difahamkan UAS atau lebih dikenali sebagai dron itu adalah sebahagian daripada pakej 34 unit ScanEagle bernilai AS $47.9 juta yang dibekalkan AS kepada Malaysia, Filipina, Indonesia dan Vietnam.

Langkah itu dianggap penting bagi Malaysia dalam memiliki keupayaan risikan, pengawasan dan peninjauan (ISR) dalam mengawasi laluan strategiknya yang luas di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.

ScanEagle bergantung kepada konfigurasi sistem serta boleh dilancarkan tanpa perlu adanya landasan terbang.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 7:30 AM