Kempen Jom Baca Al-Mulk. FOTO ihsan pembaca
Kempen Jom Baca Al-Mulk. FOTO ihsan pembaca
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Sempena bulan Rejab yang mulia ini, Yayasan Amal Malaysia (YAM) Kedah mengajak lebih banyak masjid dan surau menggalakkan jemaahnya membaca surah al-Mulk selepas solat Isyak.

Timbalan Pengerusinya, Ustaz Abdullah Din berkata, bagi menyokong kempen itu pihaknya tampil dengan inisiatif mencetak surah al-Mulk dan diberikan secara percuma kepada masjid dan surau.

"Kempen ini sebenarnya sudah bermula sejak dua tahun lalu, dan sambutan adalah sangat menggalakkan sehingga 110,000 cetakan sudah diedarkan.

"Pada mulanya kami mengagihkan cetakan ini untuk negeri Kedah saja, namun inisiatif ini turut disambut baik di negeri-negeri lain juga terutama Sarawak selepas saya kongsikannya di Facebook, 22 Februari lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, cetakan surah al-Mulk yang diberikan secara percuma itu adalah lebihan dana wakaf al-Quran yang disumbangkan kepada YAM.

Katanya, dia begitu kagum dengan inisiatif Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) yang mengarahkan masjid dan surau membaca surah al-Mulk serta berharap Jabatan Agama Islam Negeri lain menjalankan inisiatif itu juga.

"Kami berterima kasih kepada semua yang memberi sokongan sehingga ada pihak yang ingin menaja cetakan risalah surah al-Mulk berkenaan. Saya juga memohon jasa baik orang ramai untuk menyebarkan pengetahuan mengenai kempen ini kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan surau supaya dapat sama-sama mengamalkannya," katanya.

Abdullah berkata, wakil surau dan masjid yang menginginkan risalah ini secara percuma boleh hubunginya dan memberikan alamat serta jumlah yang diperlukan di talian 019-8813100 atau Pengerusinya, Zulkifli Baharom di talian 019-4111000.

Katanya, caj penghantaran perlulah disediakan sendiri wakil surau dan masjid iaitu serendah RM10.

"Besarnya fadilat amalan surah al-Mulk ini sehingga Nabi SAW tidak akan tidur malam jika tidak membaca surah ini.

"Sabda Nabi SAW, di dalam al-Quran terdapat satu surah yang mengandungi 30 ayat, surah ini akan memberi syafaat kepada pembacanya sehingga dia diampunkan," katanya.

Tambahnya, bagi penduduk di Perak boleh mendapatkan risalah surah al-Mulk secara percuma daripada Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak atau hubungi di talian 019-5580669.

Bagi wakaf al-Quran di bumi Afrika, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam YAM Kedah bernombor 02020010060682 atau Bank Muamalat (02020003392717).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 5:32 PM