Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Seorang pegawai dan lima anggota polis antara 14 individu ditahan dalam serbuan parti liar di pangsapuri di sini, hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, serbuan pada 1.30 pagi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

"Dalam serbuan berkenaan kita menahan enam pegawai dan anggota berkenaan dari Polis Kontinjen Perak, lima perempuan warga tempatan dan tiga perempuan warganegara Indonesia yang anggaran berusia 20 hingga 40an.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati satu pegawai dan empat anggota positif dadah, satu anggota negatif dadah, manakala lima perempuan tempatan dan dua perempuan warganegara Indonesia positif dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, bagaimanapun pihak polis tidak menemui dadah ketika serbuan itu.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, beliau berkata, Rabu lalu, JSJN Kontinjen Perak turut membongkar dan menangkap sindiket pengedaran dadah heroin di Taiping dan Ipoh.

Katanya, dalam serbuan kes pertama di rumah di kawasan Kampung Baru, Kamunting, Taiping, polis menangkap dua lelaki berusia 26 dan 35 tahun serta menjumpai 110 paket plastik lutsinar disyaki mengandungi heroin dan dengan nilai pasaran keseluruhan RM 9,077.

Manakala, pada 4 petang hari sama, polis turut menahan lelaki berusia 40 tahun menunggang motosikal di kawasan Lapangan Symphony Business Park di Ipoh .

"Suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan menemui 10 peket plastik lutsinar besar dadah jenis heroin anggaran berat 4,490 gram dengan nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM157,500," katanya.

Katanya, kesemua suspek daripada kedua-dua kes di Taiping dan Ipoh direman selama tujuh hari mulai 25 Februari sehingga 3 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MIOR Faridalathrash ketika sidang media. FOTO Balqis Jazimah Zahari
MIOR Faridalathrash ketika sidang media. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 1:52 PM