JAS Selangor mematahkan cubaan menyeludup masuk barangan elektrik dan elektronik terpakai dengan menahan lapan kontena di Pelabuban Barat, Pelabuhan Klang, hari ini. FOTO ihsan JAS Selangor
JAS Selangor mematahkan cubaan menyeludup masuk barangan elektrik dan elektronik terpakai dengan menahan lapan kontena di Pelabuban Barat, Pelabuhan Klang, hari ini. FOTO ihsan JAS Selangor
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mematahkan cubaan pihak tidak bertanggungjawab menyeludup masuk lapan kontena berisi barangan elektrik dan elektronik terpakai menerusi Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang dalam satu serbuan hari ini.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, hasil serbuan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu berjaya menemukan barangan elektrik dan elektronik terpakai seberat kira-kira 147,147 kilogram (kg).

"Dalam serbuan 12 tengah hari tadi, kami menemui papan litar tercetak dan mesin pencetak terpakai dikategorikan sebagai buangan elektrik dan elektronik terpakai seberat 147,147kg dan dipercayai dibawa masuk bagi tujuan kitar semula.

"Siasatan awal mendapati barangan buangan ini diimport dari Amerika Syarikat dan Hong Kong tanpa kelulusan JAS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nor Aziah berkata, semua barangan terpakai berkenaan dipercayai akan dibawa ke beberapa premis di sekitar Lembah Klang untuk dilebur bagi mendapatkan logam berharga seperti timah dan tembaga bagi pasaran tempatan.

Katanya, pihaknya mengeluarkan notis arahan kepada syarikat pengimport untuk memulangkan kontena itu ke negara asal mengikut prosedur Konvesyen Basel berkaitan Kawalan Pergerakan Bahan Berbahaya Dan Pelupusan.

"JAS Selangor terus komited membanteras jenayah alam sekitar rentas sempadan dan mengelakkan negeri ini dijadikan tempat pelupusan buangan dari negara asing.

"Untuk rekod, sebanyak 29 kontena termasuk yang mengandungi sisa plastik sudah ditahan dan diarah dikembalikan ke negara pengeksport sejak Januari lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 8:54 PM