RESTORAN Nasi Kandar Arraziq di Jalan Bulan, Kuala Lumpur, mendapati pelanggan mematuhi SOP yang telah ditetapkan. FOTO Fathil Asri
RESTORAN Nasi Kandar Arraziq di Jalan Bulan, Kuala Lumpur, mendapati pelanggan mematuhi SOP yang telah ditetapkan. FOTO Fathil Asri
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Di sebalik kebenaran kerajaan untuk pelbagai sektor ekonomi beroperasi semula, pengusaha ditemui tidak mengambil mudah prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan walaupun terpaksa memarahi pelanggan yang ingkar SOP.

Bagi pengusaha, perkara berkaitan SOP ditetapkan kerajaan tidak boleh dikompromi berikutan mahu memastikan boleh terus berniaga, tidak dikenakan hukuman seperti denda dan larangan beroperasi selain membantu memutuskan penularan Covid-19.

Tinjauan Harian Metro di premis menjual makanan, peralatan komputer dan telekomunikasi di ibu negara mendapati, pengusaha mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan ketika ini.

Pengurus Restoran Nasi Kandar Arraziq di Jalan Bulan di sini, Jamil Kamal Batcha berkata, kebenaran kepada premis menjual makanan untuk menerima pelanggan secara makan di dalam premis sangat ditunggu-tunggu.

"Alhamdulillah. Terima kasih kepada Perdana Menteri, menteri serta semua yang menguruskan hal penularan Covid-19. Terima kasih kerana memberikan semula ruang kepada kita untuk berniaga seperti biasa ketika kita sudah berasa penat dan tenat.

"Tidak larat lagi hendak pikul beban. Memang bagus beri peluang semula makan di dalam premis, ia dapat menyegarkan semula perniagaan restoran dan seumpamanya. Apa sahaja SOP ditetapkan kerajaan, bukan kata kami cuba ikut malah 100 peratus kami akur.

"Andainya kita tidak patuh SOP, Covid-19 mungkin semakin menular seterusnya sektor ekonomi terjejas," katanya ditemui.

Menurutnya, dia sudah menjelaskan kepada pekerja supaya tidak menghidangkan makanan atau minuman kepada pelanggan yang ingkar atau sengaja tidak mahu patuh SOP.

"Saya pernah beberapa kali berdepan pelanggan enggan akur SOP. Apabila saya cakap, pelanggan marah sedangkan saya tidak mahu bergaduh. Pernah terjadi, saya dikompaun malah pelanggan terbabit turut dikompaun.

"Jika masih ada pelanggan tidak patuh SOP, saya sudah maklumkan kepada pekerja supaya jangan hidangkan makanan atau minuman sehingga pelanggan patuh.

"Jika pelanggan hendak duduk, kita tidak halau namun jika ada penguat kuasa datang, kita akan laporkan," katanya.

Jurujual aksesori telefon pintar di Plaza Low Yat, Lee Keng Way, 40, berkata, premis tempatnya bekerja baru sebulan memulakan perniagaan selepas diambil alih daripada syarikat lain.

"Kami tidak mahu premis diarahkan menutup perniagaan hanya kerana gagal mematuhi SOP.

"Pelanggan juga belum ramai dan kami harap, selepas PKP, lebih ramai pelanggan akan datang ke sini," katanya.

Jurujual komputer dan komputer riba, M Pardhiban Pillai berkata, premis perniagaannya mengamalkan SOP ketat termasuk hanya 10 pelanggan boleh berada di kedai pada satu masa.

Menurutnya, jika ada sekeluarga datang ke kedai, pihaknya hanya benarkan dua daripada mereka masuk ke premis untuk mengelak kesesakan.

"Di luar kedai juga kita letakkan memorandum seperti keperluan pelanggan mendaftar masuk, pastikan memakai pelitup muka mengimbas suhu badan," katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di pusat perniagaan digital terkemuka di ibu negara itu mendapati masih kurang rakyat tempatan berkunjung berbanding warga asing.

Ia berkemungkinan disebabkan warga tempatan bimbang kerana kes positif Covid-19 masih mencatatkan angka tinggi terutamanya di Lembah Klang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 3:34 PM