Keadaan flat dan motosikal di Blok F, Lorong 7, Taman Suria Jaya, Jalan Matang di Kuching yang terbabit dalam kebakaran pagi hari ini. Foto Melvin Joni
Keadaan flat dan motosikal di Blok F, Lorong 7, Taman Suria Jaya, Jalan Matang di Kuching yang terbabit dalam kebakaran pagi hari ini. Foto Melvin Joni
Melvin Joni


Kuching: Lima cedera selepas terjun daripada flat empat tingkat di Blok F, Lorong 7, Taman Suria Jaya, Jalan Matang di sini, bagi menyelamatkan diri dalam kebakaran pada awal pagi hari ini.

Pasangan suami isteri bersama bayi mereka yang tinggal di flat berkenaan pula berjaya diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kejadian pada 5.12 pagi itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kebakaran itu membabitkan 14 unit kediaman di blok bangunan berkenaan.

"Kesemua lapan mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan sudah menerima rawatan awal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan BBP Batu Lintang dikejarkan ke lokasi bagi melakukan operasi memadam kebakaran.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada 5.43 pagi dan operasi memadam ditamatkan pada 7.21 pagi.

"Tujuh motosikal yang diletakkan di kawasan flat berkenaan turut rosak terbakar dalam kejadian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 10:15 AM