PEGAWAI KPDNHEP memeriksa jersi tiruan yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Kepong semalam.
PEGAWAI KPDNHEP memeriksa jersi tiruan yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Kepong semalam.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Baru dua bulan dilancarkan namun jersi baharu pasukan kebangsaan Malaysia edisi 2020-2022 sudah menjadi mangsa cetak rompak dan dijual meluas di platform eDagang.

Difahamkan sindiket mampu menghasilkan jersi 'ciplak' Gred A yang menyerupai jersi sebenar pasukan Harimau Malaya yang mula dilancarkan pada 3 Disember tahun lalu.

Kegiatan cetak rompak itu bagaimanapun dibongkar susulan risikan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur terhadap kegiatan itu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Zubir Hamsa berkata, sindiket dikesan menjual jersi bola sepak itu di laman beli belah dalam talian pada harga 50 peratus lebih rendah dari harga sebenar.

"Susulan maklumat diperolehi, sepasukan anggota KPDNHEP bersama-sama wakil pemilik cap dagang menyerbu sebuah stor di tingkat dua sebuah premis di Bandar menJalara, Kepong petang semalam.

"Kedudukan stor itu di atas bengkel membaiki motosikal digunakan untuk mengelirukan kegiatan dilakukan suspek," katanya.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis itu dijadikan lokasi penyimpanan baju jersi dan stokin berjenama Nike palsu.

"Premis ini turut dijadikan sebagai tempat pencetakan baju jersi cetak rompak. Peralatan percetakan turut ditemui semasa serbuan dijalankan membabitkan mesin pencetak dan komputer," katanya.

Beliau berkata, pemilik premis ini didapati menjual barangan cetak rompak itu secara atas talian menggunakan platform jual beli atas talian terkenal serta mengedarkan barangan itu di seluruh Malaysia termasuk Singapura, Hong Kong, Botswana dan lain-lain. "Sebanyak 2,105 unit jersi tiruan dirampas termasuk sebuah komputer riba, sebuah komputer, mesin pencetak serta dokumen berkaitan.

"Kesemua barangan itu disita kerana disyaki menggunakan cap dagangan secara tidak sah. Jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM110,000. Siasatan lanjut akan dibuat terhadap peniaga terbabit di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 3:21 PM