Prasarana rugi hampir RM500 juta.
Prasarana rugi hampir RM500 juta.
Oleh Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan membuat laporan kepada pihak berkuasa selepas mencatatkan kerugian 417 juta riyal (hampir RM500 juta) susulan pelaksanaan projek Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro Southern Line (MMMSL) di Arab Saudi.

Laporan kerugian bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 itu akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pengerusi Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kerugian itu berikutan pembabitan Prasarana dalam operasi dan penyelenggaraan Projek MMMSL daripada 2015 hingga 2018.

Tajuddin mendakwa, kerugian itu berpunca daripada pembabitan lembaga pengarah Prasarana dan anak syarikatnya, Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME) yang masih belum boleh didedahkan kepada umum.

"Laporan awal audit projek ini sudah diserahkan kepada Jawatankuasa Risiko Audit (ARC) yang kemudiannya mendapati ada masalah meruncing lain dan perlu kepada pemeriksaan lanjut, sejurus kontrak tamat, pada 2018.

"ARC kemudian mengarahkan siasatan forensik menyeluruh, termasuk audit dilakukan Price Waterhouse Coopers Advisory Services yang dilengkapkan selama 18 bulan ekoran beberapa kekangan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Berkaitan tempoh siasatan forensik menyeluruh bagi kerugian itu, Tajuddin berkata, ia terpaksa dilakukan dalam jangka masa berkenaan kerana perlu mendapatkan kerjasama subkontraktor dan perunding terdahulu yang berpusat di luar negara.

"Selain itu, Prasarana berdepan kesukaran untuk menjejak bekas kakitangan yang sudah tidak lagi berkhidmat dengan syarikat, selepas projek MMMSL siap sepenuhnya.

"Pasukan siasatan juga perlu menyemak serta membuat saringan terhadap sejumlah besar dokumen berkaitan pelaksanaan projek yang dipindahkan dari Arab Saudi ke Malaysia, sejurus projek tamat," katanya.

Tren MMMSL berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi memulakan operasinya pada Ogos 2017, khusus bagi membantu pergerakan jemaah haji menjelang kemuncak Hari Wukuf.

Operasi tren di jajaran sepanjang 1.8 kilometer dengan sembilan stesen menghubungkan Arafah, Mina dan Jamrah itu di kawal selia oleh Pusat Kawalan Operasi serba canggih di Arafah.

Keseluruhannya, lima formasi pergerakan disusun PRIME selaku operator tren haji berkenaan, khusus bagi membantu memastikan 350,000 jemaah haji, khususnya dari negara teluk (GCC) dan Asia Selatan melaksanakan rukun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 3:43 PM