Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Sekolah Menengah Teknik Terengganu di Wakaf Tembesu tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti yang ditularkan di media sosial sejak semalam sebaliknya hanya penutupan sementara susulan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, maklumat berkenaan bukan saja tidak benar malah disampaikan daripada sumber tidak sah.

"Memang terdapat kes positif Covid-19 di sekolah itu dan ia ditutup sementara seperti arahan Kementerian Pendidikan Malaysia sebelum ini yang membenarkan pentadbiran sekolah menutup operasi persekolahan jika terdapat kes positif membabitkan penghuninya.

"Tiada sebarang arahan PKPD diumumkan setakat ini sebaliknya hanya penutupan sementara dan arahan dalaman untuk pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) dikeluarkan terhadap beberapa kontak rapat kes aktif," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mendakwa sekolah berkenaan diarahkan menjalani PKPD selama tujuh hari bermula semalam.

Difahamkan, kes di sekolah berkenaan membabitkan seorang pelajar dari Klang, Selangor yang datang ke sekolah dan tinggal di asrama pada hari pertama persekolahan dibenarkan buat calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2020.

Pelajar terbabit berada di asrama dan dikesan positif selepas seminggu kerana bergejala.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 6:40 PM