Saaidah meriba bayinya berusia dua bulan sambil memberi tunjuk ajar kepada anak-anak
Saaidah meriba bayinya berusia dua bulan sambil memberi tunjuk ajar kepada anak-anak
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Biarpun mempunyai sembilan anak termasuk seorang daripadanya berstatus orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal ini gigih membesarkannya seorang diri dalam memastikan mereka dapat belajar dengan sempurna.

Saaidah Puteh, 40, berkata setiap hari dia akan memastikan lima anaknya mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah menggunakan telefon bimbit miliknya dan arwah suami.

Menurutnya, suaminya, Zainol Abididil Ibrahim, 47, meninggal dunia akibat penyakit kencing manis pada Oktober tahun lalu.

"Saya tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada wang pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah suami untuk menyara kehidupan kami anak beranak.

"Saya yakin hanya dengan memberi anak ilmu, kehidupan keluarga saya akan berubah.

"Jadi, setiap hari bermula 8 pagi, semua anak saya akan berkumpul untuk belajar dalam talian, mereka akan saling bantu membantu tunjuk ajar antara satu sama lain," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Dewan, Alor Malai di sini, hari ini.

Anak sulungnya, Muhammad Zuffar Aliff, 20, kini sudah berkerja manakala lima lagi masih belajar iaitu Nurul Aliah, 18, Muhammad Zuffar Azriel, 16, Muhammad Zuffar Aidil, 15 (OKU), Nurul Alia Alesya, 12, dan Nurul Aliah Aqilla berusia sembilan tahun.

Saaidah turut mempunyai anak kembar berusia enam tahun iaitu Nurul Alia Aneesa dan Nurul Alia Areesa selain bayi berusia dua bulan, Nurul Alia Afiyya.

Menurutnya, Nurul Aliah Athirah yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula menjalani sesi persekolahan secara bersemuka.

Sementara itu, kecekalan Saaidah membesarkan anaknya mendapat perhatian Kelab Belia Darul Aman dengan kerjasama Pemuda Umno Kedah yang menyumbangkan dua tablet untuk kegunaan anak ibu tunggal itu, hari ini.

"Saya berterima kasih atas keprihatinan kelab berkenaan selain Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah yang menghulurkan sebuah telefon pintar, baru-baru ini.

"Alhamdulillah, anak dapat belajar dengan lebih selesa untuk melakukan tugasan diberikan guru selepas ini menggunakan telefon pintar hasil sumbangan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 6:35 PM