AMIR Dzulfadli (kanan) melawat kebun sayur di TKPM Inderapura yang ditengelami banjir. FOTO Mohd Rafi Mamat
AMIR Dzulfadli (kanan) melawat kebun sayur di TKPM Inderapura yang ditengelami banjir. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pekebun sayur yang kebun musnah ditengelami banjir layak menerima bantuan bencana yang disediakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pegawai Pertanian Daerah Kuantan Amir Dzulfadli Samad berkata, wang ihsan berkenaan antara usaha kerajaan membantu meringankan beban kerugian dialami golongan terbabit.

Katanya, bantuan yang disediakan kerajaan itu bukan berupa ganti rugi disebabkan kemusnahan kebun mereka sebaliknya sebagai tanda prihatin kementerian kepada golongan pekebun.

Menurutnya, di daerah ini terdapat 168 pekebun sayur di bawah seliaan Jabatan Pertanian, secara kelompok dan individu yang dikenal pasti kebun mereka ditengelami banjir minggu lalu.

Mereka mengusahakan kebun berskala kecil dan sederhana.

"Seramai 19 pekebun mengusahakan projek tanaman pelbagai sayuran berskala sederhana di tiga Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di daerah ini, TKPM Inderapura, TKPM Pulau Manis dan TKPM Permatang Lawang.

"Pekebun perlu membuat permohonan untuk mendapat bantuan melalui pejabat pertanian daerah yang akan dimajukan kepada kementerian.

"Pekebun layak menerima wang ihsan hingga RM400 mengikut saiz luas kebun yang diusahakan," katanya selepas meninjau keadaan banjir yang berlaku di kawasan TKPM Inderapura, di sini kelmarin.

Beliau berkata, pekebun yang kebun mereka ditenggelami banjir dinasihatkan supaya segera memungut hasil tanaman bagi mengelak terus menanggung kerugian walaupun harga ditawarkan sedikit rendah berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun, Amir Dzulfadli berkata, kebanyakan pekebun di TKPM di daerah ini mengusahakan tanaman sayur secara fertigasi atau digantung dan hanya sebahagian kecil sahaja yang menanam di atas tanah.

Sementara itu bagi Mahadi Ariffin, 46, semua anak pokok cili besar yang diletakkan di atas tanah musnah apabila keseluruhan kebun seluas lebih dua hektar ditenggelami banjir sejak seminggu lalu dengan paras air hampir satu meter.

"Tanaman timun mini sebanyak 5,000 polibeg yang saya usaha menggunakan kaedah fertigasi turut mengalami masalah berikutan banjir yang kini bertahan selama seminggu, 70 hingga 80 peratus pengeluaran buah berkurangan berbanding sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 1:11 PM