FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: Sebanyak 1,528 daripada 14,899 permohonan permit rentas negeri di daerah ini ditolak atas alasan tidak munasabah serta tidak mengikut peraturan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, jumlah permohonan itu diterima pihaknya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Januari lalu hingga semalam.

"Kami menerima 14,899 permohonan permit rentas negeri sepanjang tempoh berkenaan. Daripada jumlah itu, 13,371 permohonan diluluskan, manakala 1,528 permohonan ditolak.

"Permohonan mereka ditolak kerana alasan tidak munasabah serta tidak mengikut peraturan dan garis panduan ditetapkn seperti menziarah kematian saudara yang bukan saudara terdekat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, sebanyak 77 kompaun dikeluarkan pihaknya atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh itu.

"Antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memakai pelitup muka (30), tiada penjarakan fizikal (6), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (18), tidak mendaftar masuk premis (2) dan berniaga melebihi tempoh masa dibenarkan (15).

"Saya memohon kerjasama orang ramai untuk membuat permohonan permit pergerakan rentas negeri atau daerah untuk alasan dibenarkan sahaja bagi mengelakkan kesesakan di balai polis selain menyediakan salinan dokumen sokongan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 5:41 PM