YaPEIM bersama Alliance Islamic Bank Berhad mengagihkan keperluan makanan, barangan penjagaan diri dan pelitup muka kepada 135 keluarga yang terjejas akibat banjir di Pulau Beluru, Tumpat, Kelantan, hari ini. FOTO ihsan YaPEIM
YaPEIM bersama Alliance Islamic Bank Berhad mengagihkan keperluan makanan, barangan penjagaan diri dan pelitup muka kepada 135 keluarga yang terjejas akibat banjir di Pulau Beluru, Tumpat, Kelantan, hari ini. FOTO ihsan YaPEIM
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersama Alliance Islamic Bank Berhad mengagihkan keperluan makanan, barangan penjagaan diri dan pelitup muka kepada 135 keluarga yang terjejas akibat banjir di Pulau Beluru, Tumpat, hari ini.

YaPEIM dalam satu kenyataan berkata, sumbangan dianggarkan berjumlah RM13,500 itu selepas mengambil kira segala keperluan mangsa ketika ini.

"Program ini adalah sebahagian Program Inspirasi Qaseh Kami yang bertujuan membantu serta mengagihkan bantuan kepada golongan memerlukan.

"Antara makanan diagihkan termasuk beras, tepung gandum, minyak masak serta barangan dapur lain serta barangan penjagaan diri seperti sabun mandi, syampu, berus gigi, ubat gigi dan tuala wanita," katanya dalam kenyataan itu.

Menurutnya, YaPEIM berharap sumbangan itu dapat memberi manfaat, sekali gus meringankan penderitaan ditanggung mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Katanya, YaPEIM turut menzahirkan tanda penghargaan di atas pembabitan Alliance Islamic Bank Berhad dalam menjayakan kerjasama strategik bagi menyampaikan bantuan banjir itu.

"Terima kasih juga kepada pihak Pejabat Penggawa Pulau Beluru dalam mengenalpasti penerima dan menguruskan agihan sumbangan," katanya.

Turut hadir ketika program serahan sumbangan berkenaan Pengurus YaPEIM Kelantan, Nik Nurul Ehsan Nik Salleh.

Sebelum ini, YaPEIM menerusi Program Inspirasi Qaseh Kami turut menyumbang 500 gulung tilam kepada 250 keluarga yang terjejas akibat banjir di Raub, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 7:59 PM