Deretan kedai di Pasar Payang ditutup dan Suasana lengang berikutan penguatkuasaan semula  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini hingga 4 Februari depan. Pelaksanaan PKP diperluaskan lagi ke seluruh negeri Kedah, Perlis, Terengganu, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 ini. FOTO GHAZALI KORI
Deretan kedai di Pasar Payang ditutup dan Suasana lengang berikutan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini hingga 4 Februari depan. Pelaksanaan PKP diperluaskan lagi ke seluruh negeri Kedah, Perlis, Terengganu, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 ini. FOTO GHAZALI KORI
Zaid Salim

Kuala Terengganu: Operasi perniagaan di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP), di sini, lengang pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Tinjauan mendapati suasana di pasar berkenaan yang sibuk kini lengang berikutan ketiadaan pengunjung yang mengunjungi pasar yang menjadi tumpuan ramai terutama pada hari minggu.

Bagaimanapun hasil tinjauan mendapati terdapat beberapa peniaga khususnya peniaga bahan makanan kering seperti keropok keping dan kuih muih serta kedai makan meneruskan perniagaan seperti biasa walaupun kedatangan pengunjung berkurangan.

Manakala premis menjual pakaian, batik, sutera, songket dan tembaga serta barangan hiasan wanita seperti emas dan perak pula, hampir keseluruhannya tidak menjalankan perniagaan.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusoff, berkata, pihaknya menjangkakan hanya 40 peratus pengunjung sahaja yang akan memasuki pasar berkenaan sepanjang tempoh PKP.

"Sebanyak 800 premis menjual pelbagai barangan termasuk pasar basah beroperasi di pasar ini dan susulan PKP sebilangan besar premis tidak menjalankan perniagaan," katanya.

"Pasar ini menjadi tumpuan pelancong dan larangan merentas negeri berikutan pelaksanaan PKP menyebabkan operasi di pasar ini lumpuh.

"Kita menjangkakan hanya 40 peratus pengunjung membabitkan penduduk tempatan yang tinggal di daerah ini sahaja yang mengunjungi pasar ini sepanjang tempoh PKP," katanya.

Zakaria berkata, peniaga yang meneruskan perniagaan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 3:30 PM