Foto hiasan
Foto hiasan
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Empat Exco dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri ini terpaksa menjalani kuarantin sementara menunggu keputusan ujian saringan Covid-19.

Empat Exco yang kini sedang menjalani proses kuarantin di kediaman masing-masing adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah.

Adun Tepoh Hishamuddin Abdul Karim turut diminta menjalani proses kuarantin di rumah.

Empat Exco dan Adun itu menjalani ujian saringan Covid-19 dan terpaksa dikuarantin di kediaman masing-masing selepas disahkan menjadi kontak rapat seorang individu yang disahkan positif virus itu.

Dr Alias yang juga Adun Bukit Tunggal mengesahkan dia dan empat lagi rakannya kini menjalani kuarantin sementara menunggu keputusan ujian swab.

Beliau dan empat rakannya adalah kontak rapat kepada seorang kakitangan di Wisma Darul Iman yang disahkan positif Covid-19.

"Saya dan Wan Sukairi serta Hishamuddin menjalani ujian saringan semalam, manakala Ariffin dan Mohd Nor hari ini," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Alias berkata, semua aktiviti dan program membabitkan beliau yang dijadualkan sepanjang minggu ini terpaksa ditangguhkan sehingga keputusan ujian itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan.

Sementara itu, Ariffin yang juga Adun Alor Limbat turut mengesahkan sedang menjalani proses kuarantin di rumah mulai hari ini.

"Saya dinasihatkan supaya menjalani proses kuarantin di rumah selepas melakukan ujian swab Covid-19 di hospital swasta pagi tadi.

"Kami kini berada dalam keadaan stabil dan memutuskan untuk menangguhkan semua program ditetapkan sehingga keputusan ujian diketahui," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 10:57 PM