Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menyiasat punca sebenar kematian seorang jurukimpal yang terbabit dalam insiden letupan di sebuah stor simpanan kilang memproses produk kelapa sawit, petang tadi.

Timbalan Pengarah JBPM Johor, Pauzan Ahmad, berkata dalam kejadian yang berlaku pada jam 2.41 petang itu, punca kematian mangsa yang dikenal pasti sebagai Wilson Banggau, 45, itu masih dalam siasatan sama ada mangsa maut akibat letupan atau terjatuh daripada tempat tinggi.

"Dalam kejadian letupan berkenaan, dua jurukimpal terjatuh dari ketinggian kira-kira 15 meter ketika sedang melakukan kerja kimpalan di bahagian bumbung sebuah tangki simpanan 'crude glycerin' di situ.

"Ia menyebabkan seorang daripada jurukimpal itu maut dan seorang lagi mengalami kecederaan patah kaki dan melecur, manakala seorang lagi mangsa yang juga jurukimpal cedera akibat melecur di muka," katanya.

Terdahulu media melaporkan seorang maut dan dua parah dalam kejadian letupan di sebuah kilang kimia di Jalan Tengar, Tanjung Langsat, Pasir Gudang

Dalam kejadian letupan kira-kira jam 2.41 petang itu, Wilson disahkan maut manakala dua rakan sekerjanya, Bonsi Buli, 42, dan Mohd Syafiq Abd Rahman, 23, parah.

Seramai 42 anggota dengan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang dan Larkin dikejar ke lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Pauzan berkata, letupan berkenaan bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kebakaran terhadap kilang yang memproses produk kelapa sawit itu.

"Anggaran kerugian masih dalam siasatan manakala operasi di lokasi berkenaan ditamatkan pada jam 4.26 petang tadi, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 8:48 PM