Pasukan bomba berusaha menarik keluar mayat mangsa dan seorang lagi rakannya yang terselamat dengan menggunakan alat pengusung khas. FOTO ERIKA GEORGE
Pasukan bomba berusaha menarik keluar mayat mangsa dan seorang lagi rakannya yang terselamat dengan menggunakan alat pengusung khas. FOTO ERIKA GEORGE
Oleh Erika George


Limbang: Seorang lelaki maut manakala dua rakannya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terjunam ke dalam gaung sedalam 91.4 meter di Jalan Ulu Mendamit-Bukit Kilo Long Napir petang semalam.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Delvin Dinisius, 20 manakala dua penumpang yang cedera belum diketahui identitinya.

"Difahamkan seorang lagi penumpang berjaya menyelamatkan diri keluar dari kenderaan terbabit sebelum terjunam dan sudah dibawa ke Hospital Limbang bagi diberikan rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, anggota BBP Limbang mengambil masa dua jam menggunakan jalan pembalakan sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5.22 petang.

Katanya, sampai di lokasi kejadian pada jam 8.30 malam, pasukan penyelamat mengambil masa masa 10 minit bagi mengeluarkan mayat mangsa dan seorang lagi rakannya yang terperangkap dalam Toyota Hilux berkenaan.

"Semua mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 9.45 malam dengan menggunakan alat pengusung khas," katanya.

Mayat diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Limbang untuk bedah siasat manakala seorang lagi rakannya yang berada dalam keadaan lemah turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 1:49 PM