FOTO hiasan
FOTO hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia dijangka menerima tuntutan pampasan penamatan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dari Singapura dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, bagaimanapun jumlah tuntutan itu perlu disahkan dan dipersetujui oleh kedua-dua negara.

"Ketika ini kami masih menunggu Singapura menyerahkan tuntutan itu kepada kami. Sebaik sahaja ia dikemukakan, kami akan melaksanakan usaha wajar bagi memastikan tuntutan itu adalah munasabah dan dapat disahkan," katanya dalam taklimat media hari ini.

Pada awal minggu ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia berpandangan bahawa jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada Singapura susulan penamatan projek HSR adalah jauh lebih rendah daripada S$270 juta (kira-kira RM820.76 juta) yang dibelanjakan oleh Singapura.

Mohd Nur Ismal mengulangi bahawa pampasan itu bukanlah denda, sebaliknya bertujuan membayar balik kepada Singapura kos projek yang telah dibelanjakan, namun tidak dapat digunakan.

Beliau berkata setakat ini, kerajaan tidak komited atau memuktamadkan sebarang projek termasuk spekulasi bahawa projek kereta api laju Kuala Lumpur-Johor Bahru bagi menggantikan HSR KL-Singapura.

"Kita memerlukan satu kajian yang teliti mengenai mana-mana projek yang akan menggantikan projek HSR KL-Singapura yang boleh dilaksanakan sendiri," katanya.

Beliau menambah, kajian itu dijangka bermula tidak lama lagi dan berharap dapat dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan.

"Tetapi ia bergantung kepada seberapa banyak kerja yang perlu dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 12:42 AM