Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi Awang.
Oleh Baharom Bakar


Marang: PAS tidak bersetuju Pilihan Raya Umum-15 (PRU-15) diadakan berikutan peningkatan kes Covid-19 dan bencana banjir yang semakin buruk di beberapa negeri.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, pelaksanaan pilihan raya ketika negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19 dan bencana banjir hanya akan menambah bebanan rakyat.

"Jika nak sangat pilihan raya diadakan, biar selesai dahulu masalah penularan pandemik Covid-19 dan bencana banjir.

"Takkan lah ketika penularan pandemik, nak desak kerajaan supaya bubarkan Parlimen untuk membolehkan PRU diadakan," katanya pada sidang media selepas selesai menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika mengulas desakan UMNO supaya PRU diadakan sebelum suku pertama tahun ini berakhir.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO menggesa PRU-15 diadakan sebelum suku pertama tahun ini berakhir bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, namun tertakluk kepada keadaan Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi tetap dengan pendirian iaitu PAS akan terus memperkukuhkan gabungan Perikatan Nasional (PN) selain mempertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

"Kita sudah bina PN dan usaha untuk perkukuhkan gabungan ini akan terus dilakukan dan bukan merobohnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 5:43 PM