Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Sebahagian pusat bandar di sini, masih digenangi air banjir walaupun cuaca panas pagi tadi.

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati premis bersebelahan Sungai Johor sehingga kira-kira 400 meter dari sungai masih kekal ditenggelami air separas antara 1.0 hingga 1.3 meter.

Beberapa jalan di pusat bandar yang ditenggelami air semalam sudah mulai surut namun hampir semua jalan menghala ke kawasan itu masih ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dilihat mengawal jalan masuk ke pusat bandar dengan papan tanda melarang pengguna melaluinya turut kelihatan.

Jalan utama memasuki pusat bandar itu di Jambatan Jalan Tun Habab masih ditutup kepada semua kenderaan berikutan paras air banjir yang masih tinggi.

Kelihatan lori tersadai di hadapan jambatan di situ dengan sebahagian kenderaan itu ditenggelami air banjir.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Husin, 50, berharap air banjir di pusat bandar surut sepenuhnya bagi membolehkan masyarakat di situ menjalankan kehidupan seperti biasa.

"Cuaca panas hari ini diharapkan berkekalan sehingga petang bagi membolehkan air banjir surut sepenuhnya.

"Namun awan mulai mendung membuatkan penduduk risau semula jika air banjir terus kekal, " katanya.

Semalam NSTP melaporkan pusat bandar Kota Tinggi, di sini, lumpuh sepenuhnya dan tengelam dengan semua jalan keluar masuk ke situ terputus akibat ditengelami banjir sehingga hampir dua meter, sejak Sabtu lalu.

Daerah itu juga dilaporkan bagaikan pulau berikutan hanya satu jalan keluar masuk ke Johor Bahru menjadi satu-satunya jalan yang tinggal tidak ditenggelami banjir manakala kesemua jalan lain terputus hubungan dan ditutup kepada semua jenis kenderaan sejak pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 3:09 PM