GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan kutipan fidyah berjumlah RM81,700 kepada 817 penerima.

Agihan dalam bentuk set makanan kering seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan susu itu diagihkan bermula 28 Disember hingga semalam.

MAIS dalam kenyataan berkata, agihan diuruskan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGOi) yang terpilih dan masjid-masjid di daerah yang terbabit.

"Dengan kutipan sebanyak RM81,700, kita dapat menyediakan set makanan kering kepada 817 penerima yang layak.

"Kita berharap agihan ini dapat meringankan kos perbelanjaan seharian terutamanya kepada mereka yang terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB)," kata kenyataan itu.

Agihan membabitkan penerima di daerah Klang, Petaling dan Kuala Langat yang membabitkan 298 orang; Kuala Selangor dan Sabak Bernam (309) serta Hulu Langat (122).

Bantuan turut disalurkan kepada 88 penerima yang terbabit dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Selain itu, antara NGO yang terbabit dalam agihan fidyah MAIS ialah Sahabat Hospital Selangor, PERKIM Cawangan Klang, Kelab Sosial dan Kebajikan Cakna Puncak Alam (ICARE) Dan Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 1:47 PM