Omar Ahmad


Pasir Gudang: "Hati saya sangat terkilan kerana anak saya maut selepas motosikal diboncengnya bersama rakan terlanggar lopak di jalan raya," kata bapa kepada Nurulain Md Rasol, 27, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 34 Lebuhraya Pasir Gudang di sini, pada 14 November lalu.

Md Rasol Jali, 71, berkata, memang takdir dan suratan Allah SWT anaknya meninggal dunia dengan sebab itu, tetapi berharap pengguna jalan raya lain tidak melalui perkara sama.

"Arwah ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sentosa selepas bertemu rakan.

"Saya reda tetapi berharap pihak bertanggungjawab boleh membuat pemantauan kerap lebih-lebih lagi semasa musim hujan.

"Lebuhraya Pasir Gudang ini dilalui semua jenis kenderaan, treler, kereta, motosikal dan sebagainya. Memang ada pihak menurap lopak tetapi keesokannya kembali rosak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Md Rasol berkata, kini dia bersama isteri, Esah Buang, 63, menggalas tanggungjawab menjaga serta membesarkan tiga anak arwah berusia antara tiga hingga 10 tahun.

Katanya, cucunya tahu ibu mereka sudah tiada, namun cucu bongsu masih belum mengerti.

"Arwah adalah ibu tunggal, saya akan menjaga cucu dengan baik. Walaupun tidak bekerja kerana sudah berusia, saya dan isteri akan menyara cucu dengan duit simpanan yang ada.

"Ada juga anak-anak lain membantu meringankan beban bagi membesarkan anak arwah. Ada memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk cucu tetapi masih belum dapat jawapan," katanya.

Dalam kejadian jam 6.45 petang, 14 November lalu, Nurulain cedera parah di muka dan kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketika kejadian, motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 31 tahun bersama mangsa dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke pulang ke rumah di Pasir Gudang.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda RS itu terlanggar lopak di lorong tengah menyebabkan hilang kawalan dan mangsa terjatuh.

Kemalangan itu turut mengakibatkan penunggang motosikal mengalami kecederaan pada lutut, bahu dan rusuk.

KEADAAN jalan berlopak yang diturap di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Perling. FOTO Omar Ahmad
KEADAAN jalan berlopak yang diturap di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Perling. FOTO Omar Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 6:19 PM