PASUKAN SAR mencari lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Kelulut, Marang. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
PASUKAN SAR mencari lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Kelulut, Marang. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bakal pengantin lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Kelulut, di sini, semalam berdepan sedikit kekangan berikutan keadaan ombak tinggi dan laut bergelora.

Keadaan ombak setinggi dua meter dan angin kencang serta pantai mempunyai teluk berbahaya menyukarkan lagi operasi SAR hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB1) Mohd Khairiri Mat Resad@Arshad berkata, operasi SAR hari ini dimulakan 7 pagi dengan kekuatan 63 anggota membabitkan pelbagai agensi.

Katanya, pencarian difokuskan di kawasan pesisir pantai merangkumi jarak tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas untuk pencarian di permukaan air.

"Kita menggunakan teknik 'Water Search And Surfing' dalam anggaran radius satu kilometer dari arah kiri dan kanan iaitu menghala Kuala Terengganu dan Dungun.

"Selain itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut melakukan rondaan di laut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Pantai Kelulut, hari ini.

Mohd Khairiri berkata, pihaknya berdepan kesukaran untuk membuat pencarian kerana keadaan ombak besar dan setinggi dua meter selain angin kencang.

Beliau berkata, pantai di Kelulut yang mempunyai teluk merbahaya kepada anggota penyelamat dan operasi dijalankan dengan mengambil kira keselamatan anggota penyelamat.

Media sebelum ini melaporkan bakal pengantin itu dikhuatiri lemas selepas mandi di Pantai Kelulut, semalam.

Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Cheras, Kuala Lumpur datang bersama ahli keluarga ke daerah ini untuk melangsungkan pernikahan bersama pasangannya, Fatin Nabilah Huda Ismail, 27, hari ini.

Pasangan itu dijadualkan bernikah di kediaman Fatin Nabilah Huda di Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payong, pada 10 pagi.

Berita berkaitan

'Ombak kuat cabaran pencarian dua lelaki dikhuatiri lemas'

'Dua lelaki lemas masih belum ditemui'

'Cepatlah kita mandi laut, nanti aku mati kempunan...'

'Bakal pengantin lelaki dijadual bernikah hari ini dikhuatiri lemas [METROTV]'

'Lelaki ajak rakan mandi laut dikhuatiri lemas'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 2:05 PM