MAZLAN. FOTO Arkib NSTP
MAZLAN. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Mersing: Selepas hampir setahun berkongsi rumah kelamin dengan sebuah keluarga, Shaiful Rizal Zain, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Peta di Kampung Peta berhampiran Taman Negara Endau-Rompin di sini, boleh menarik nafas lega apabila pembinaan kuarters baharu dijangka siap bulan depan.

Kisah keperitan hidup keluarga guru berkenaan mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang yang melawat sekolah itu Oktober lalu, sekali gus mendorong pembinaan kuarters baharu.

Pembinaan dua unit rumah setingkat dengan kos keseluruhan RM125,000 itu, hasil sumbangan Menteri Besar Johor, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor dan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, adalah tambahan kepada empat kuarters sedia ada.

Menariknya projek berkenaan yang bermula pada 5 November lalu dan kini 80 peratus siap, dijalankan secara gotong-royong oleh guru sekolah itu termasuk Shaiful Rizal, Guru Besar SK Peta, Norianto Ahmad Sukani, 39 dan Mazlan sendiri.

Ketika ditemui pemberita, Shaiful Rizal, 31 berkata, sebelum menumpang bersama keluarga seorang lagi guru SK Peta, beliau dan isteri, Sharifah Azreen Syed Mahamud, 31, juga guru di sekolah berkenaan, menyewa sebuah rumah penduduk Orang Asli sejak 2015.

"Rumah yang disewa itu tidak selesa kerana keadaannya uzur, menyebabkan saya terpaksa bertanyakan rakan yang tinggal bersama isteri dan seorang anak, jika sudi berkongsi kuarters guru tiga bilik yang didiaminya dengan keluarga saya awal tahun ini," katanya yang mempunyai dua anak lelaki berusia empat dan dua tahun.

Anak jati Perlis yang mengajar di sekolah itu sejak 2013, turut mengakui kerja membina rumah bukan mudah, apatah lagi untuk individu sepertinya yang langsung tidak mempunyai kemahiran dalam bidang tersebut.

Sementara itu, Mazlan berkata pembinaan kuarters tambahan itu adalah inisiatif kerajaan Johor yang prihatin akan nasib guru di pedalaman, selain memahami kekangan kerajaan persekutuan untuk menyediakan kuarters guru pada kadar segera.

"Di sini, kos membina rumah menjadi mahal disebabkan kos pengangkutan bahan binaan ke kawasan pedalaman. Jika ditender, nilainya boleh mencecah RM300,000, namun menerusi gotong-royong, kita dapat kekalkan kos sebanyak RM125,000 untuk membina dua rumah dengan dua bilik tidur dan satu bilik air," katanya.

Mazlan berkata, projek di SK Peta itu menjadi program rintis dan akan diperluas ke kawasan lain yang kini dalam perhatian pihaknya.

Norianto pula berkata, beliau tidak menyangka urusan pembinaan kuarters itu dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat, iaitu kira-kira seminggu selepas masalah berkenaan dikemukakan kepada Mazlan.

"Pada saya, ini (pembinaan kuarters) satu penghargaan buat guru-guru. Seperti dikatakan Yang Berhormat Mazlan), guru ini ibarat 'wira yang tidak didendang'," katanya, menambah SK Peta yang terletak kira-kira 60 kilometer dari pekan Kahang dekat Kluang, mempunyai 11 guru termasuk dirinya dan 44 murid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 7:17 PM