BERNAMA

Putrajaya: Kes individu yang menyamar sebagai pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta timbalan pendakwa raya dan meminta rasuah berjumlah RM60,000, berjaya dibongkar hasil kerjasama mangsa, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki.

Hasil kerjasama itu, SPRM menahan empat individu yang mengambil wang rasuah daripada pihak sedang disiasat SPRM termasuk perancang utamanya dikenali sebagai 'Datuk Roy' yang mengaku sebagai Pengarah SPRM, semalam.

Azam menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan taktik seumpamanya yang digunakan oleh suspek seperti mendakwa mengenali rapat pegawai kanan SPRM serta menunjukkan gambar-gambar bersama pegawai kanan SPRM.

Mereka juga menggunakan taktik menunjukkan kad-kad tertentu kononnya milik pegawai kanan SPRM dan timbalan pendakwa raya di SPRM serta menunjukkan gambar-gambar berada di premis dan program-program pencegahan SPRM, katanya.

"Taktik berkenaan digunakan bagi meyakinkan mangsa sekali gus bertujuan mendapatkan wang rasuah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, empat individu berumur antara 39 dan 54 tahun yang disyaki menyamar sebagai pegawai kanan SPRM dan timbalan pendakwa raya dan meminta rasuah sebanyak RM60,000 bagi menyelesaikan kes siasatan suruhanjaya itu, direman selama enam hari sehingga 22 Disember.

Perancang utama 'Datuk Roy' dan dua lagi ditahan dalam satu operasi semalam di sebuah hotel di Putrajaya, manakala seorang lagi ditahan di rumahnya di Melaka.

Ahli kumpulan itu dikatakan sanggup memasuki kawasan Ibu Pejabat SPRM untuk mengambil gambar bagi meyakinkan pengadu bahawa mereka ialah pegawai SPRM.

Azam meminta orang ramai merujuk kepada SPRM untuk pengesahan sekiranya dihubungi mana-mana pihak yang memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai SPRM atau timbalan pendakwa raya.

"SPRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika kes ini turut membabitkan mana-mana pegawai," katanya.

Berita berkaitan

Geng Datuk Roy menyamar pegawai kanan SPRM tumpas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 4:40 PM