Zaid Salim


Kuala Terengganu: Bekas pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 17 pertuduhan menerima suapan.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd Khairil Kamaruddin, 29, yang sudah meletakkan jawatan pada awal tahun ini mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Jamaluddin Mat.

Berdasarkan semua pertuduhan itu, Mohd Khairil didakwa menerima rasuah yang keseluruhannya berjumlah RM63,430 sebagai imbuhan bagi mendapatkan pengesahan cap pasport menerusi akaun banknya daripada dua lelaki.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru antara Mac 2018 dan Januari tahun ini.

Dia didakwa mengikut Sesyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

MOHD Khairil diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori
MOHD Khairil diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Razali manakala tertuduh pula diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Syed Abu Bakar.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin, dan sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Januari depan.

Lelaki itu kemudian membayar wang jaminan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 6:00 PM