PENGUNJUNG mandi sambil bermain ombak besar di pantai Sura Tengah biarpun pantai itu sudah meragut ramai nyawa. FOTO  Rosli Ilham
PENGUNJUNG mandi sambil bermain ombak besar di pantai Sura Tengah biarpun pantai itu sudah meragut ramai nyawa. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Dungun: Segelintir pengunjung dilihat masih menghampiri pantai dan bermain 'ombak tengkujuh' tanpa bimbang keselamatan diri dan keluarga mereka.

Tinjauan Harian Metro di pantai Sura Tengah pagi ini mendapati masih terdapat pengunjung membawa keluarga mereka mandi dan bermain ombak di kawasan berkenaan walaupun kawasan itu sudah meragut sekurang-kurangnya lima nyawa ketika musim tengkujuh.

Keseronokan mereka itu bagaimanapun terhalang selepas anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun mengarahkan mereka meninggalkan kawasan pantai berkenaan.

Ketua Balai BBP Dungun Penolong Penguasa Bomba, Mohd Aidil Khairim Abdul Wahab berkata, pihaknya melakukan rondaan membabitkan 13 anggota yang dipecahkan kepada dua anggota setiap kumpulan.

Menurutnya, selain pantai Sura Tengah, rondaan dilakukan termasuk pantai Teluk Lipat, Sura Hujung, Teluk Bidara, Batu Pelanduk dan Rantau Abang.

"Rondaan dilakukan bermula Oktober sehingga musim tengkujuh berakhir dan kebanyakan mereka (pengunjung) yang kita beri nasihat datangnya dari luar daerah ini.

"Kanak-kanak adalah paling ramai diberi nasihat dan kita minta ibu bapa mengawasi pergerakan anak-anak mereka supaya tidak bermain di pantai," katanya.

Katanya, kejadian lemas ditarik ombak di pantai Sura Tengah sudah meragut lima nyawa yang dilaporkan pada tahun 2018, 2016 dan 2013.

"Selain itu, pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan juga mencatat tujuh kematian akibat lemas.

"Saya sangat berharap kepada semua pengunjung supaya tidak menghampiri pantai, bermain ombak dan mandi di semua pantai bagi mengelak kejadian lemas berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 2:27 PM