GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Omar Ahmad


Kulai: Pengurus sebuah syarikat membekal makanan sejuk beku yang dipercayai terbabit dalam kegiatan kartel daging tipu label halal akan ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pegawai Kastam Kanan Bahagian Penguatkuasaan Johor, Khalik Drahman berkata penahanan lelaki warga tempatan berusia 40- an itu dibuat bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Akta Kastam 1967.

Katanya, lelaki berkenaan disiasat mengikut kesalahan mengangkut barang-barang yang gagal dikemukakan dokumen import yang sah semasa diperiksa.

"Selepas soal siasat dijalankan, tindakan seterusnya akan diambil bergantung siasatan. Sebenarnya kita sudah pegang kad pengenalan lelaki terbabit, namun kita tidak boleh tahan hari ini kerana dia demam.

"Mengambil kira keadaan pandemik Covid-19 ketika ini, kita akan buat penahanan selepas dia pulih dari demam.

"Sejak hari pertama pertama pembongkaran kartel ini, dia memberikan kerjasama yang baik," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, JKDM turut menyita daging sejuk beku yang tidak mempunyai logo halal di gudang syarikat terbabit, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menyita barang yang ada logo halal.

Menurut Khalik, siasatan awal mendapati syarikat berkenaan bukan sahaja menyeludup daging dari China, Brazil, Australia, Ukraine dan Argentina. Tetapi turut mengimport ayam dan itik.

Katanya, tidak menafikan kemungkinan terdapat pihak lain yang melakukan kegiatan seumpama itu kerana pasaran daging besar di Malaysia.

"Siasatan mendapati mereka menggunakan pembungkusan semula produk dari Australia.

"Mungkin mereka bungkus semula untuk naikkan harga kerana harga produk Australia mahal dan orang ramai yakin dengan produk negara itu, cuma pembungkusan asal dari mana daging itu berasal masih belum temui," katanya.

Semalam media melaporkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Berita berkaitan

Kartel daging tipu label halal, mungkin ada ketirisan - DPMMNJ

Mesyuarat khas isu kartel daging Isnin ini [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 3:49 PM