TEKONG dan empat awak-awak nelayan Vietnam (kiri) yang dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen Kemaman. FOTO ihsan APMM
TEKONG dan empat awak-awak nelayan Vietnam (kiri) yang dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen Kemaman. FOTO ihsan APMM
Zaid Salim


Kemaman: Seorang tekong bot nelayan warga Vietnam dijatuhkan hukuman denda RM500,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menceroboh perairan negara, September lalu.

Hakim, Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh, La Van Nhieu, 29, mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985.

Tertuduh didakwa gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio, teleks, atau faksimili sama ada dalam Bahasa Melayu atau Inggeris mengenai nama, bendera, lokasi, jalan dan destinasi serta keadaan vesel berkenaan memasuki perairan perikanan Malaysia.

Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama lima bulan.

Hakim turut memerintahkan bot KG 94941 TS, hasil lelongan sebanyak RN650.70 dan peralatan menangkap ikan dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia.

Sementara, empat kru bot terbabit yang juga warga Vietnam diserahkan kepada Jabatan Imigresen (JIM) bagi tujuan pengusiran.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya APMM, Nuur Izham Ismail.

Bot terbabit ditahan Kapal Maritim (KM) Gemia milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu kerana menceroboh perairan negara pada 24 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 6:57 PM