GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Permaisuri: Seramai 30 penternak ikan kerapu hibrid di Laguna Setiu, Kampung Gong Batu, di sini memindahkan lebih 100,000 ekor ikan ke dalam kolam tangki khas bagi mengelakkan mereka berputih mata pada musim tengkujuh.

Wakil penternak terbabit, Johari Awang Besar berkata, langkah itu terpaksa dilakukan susulan tahap kemasinan air di muara sungai turun mendadak hingga bacaan air berubah hampir menjadi tawar sepenuhnya akibat limpahan air hujan dari Sungai Setiu.

"Jika tidak dilakukan sebarang tindakan dengan segera, sudah pasti pengusaha berdepan kerugian sehingga hampir RM500,000 seperti dialami beberapa pengusaha pada musim tengkujuh tahun lalu.

"Kerja memindahkan ikan bermula sejak Khamis lalu dan berterusan sehingga ke hari ini memandangkan bacaan air masin masih menurun," katanya.

Tinjauan mendapati semua ikan berkenaan dipindahkan ke kolam tangki berbumbung dan kolam terbuka di beberapa lokasi sekitar Kampung Gong Batu serta Kampung Fikri dan ditempatkan di situ selama dua minggu sebelum dibawa semula ke sangkar apabila bacaan air kembali seperti sedia kala.

Hanya ikan kerapu hibrid dipindahkan ke situ manakala ikan siakap masih di dalam sangkar kerana ia mempunyai ketahanan terhadap air tawar.

"Ikan dipindahkan terdiri daripada pelbagai saiz dengan berat antara 300 gram hingga melebihi sekilogram seekor. Rata-rata pengusaha terpaksa mengupah pekerja untuk melakukan pemindahan dan menanggung kos banyak termasuk sewa lori," katanya.

Sementara itu, inisiatif berbeza dilaksanakan pengusaha di Kampung Keluang, Besut apabila menjual lebih awal ikan ternakan mereka bagi mengelakkan kerugian.

Penternak dan pemborong ikan, Ismail Ab Rahman berkata, kira-kira 200,000 anak ikan siakap berukuran 1.27 hingga 6.35 sentimeter (sm) dibeli daripada tujuh pengusaha di situ.

"Sepatutnya benih itu berukuran 10sm ke atas baru boleh dijual, tetapi bagi mengelak pengusaha menanggung kerugian jika kolam ditenggelami air hujan, mereka menjualnya lebih awal.

"Di sini (Kampung Keluang) adalah pusat asuhan benih siakap yang diternak sebaik telur menetas dan dijual sehingga mencapai ukuran tertentu," katanya.

Menurut Ismail, benih ikan dibelinya itu akan dipindahkan ke kolam tangki berbumbung yang disewa khas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 4:12 PM