MASJID Sultan Ibrahim Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat. FOTO Arkib NSTP
MASJID Sultan Ibrahim Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat. FOTO Arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Sebanyak 27 masjid dan surau di Batu Pahat menangguhkan pelaksanaan solat fardu lima waktu secara berjemaah dan solat Jumaat susulan bagi penularan Covid-19.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, masjid dan surau itu dikenal pasti oleh Pejabat Kesihatan Daerah sebagai berisiko kepada ahli kariah.

"Hanya empat pegawai masjid saja boleh melaksanakan solat fardu lima waktu secara berjemaah dan 12 orang bagi solat Jumaat termasuk pegawai masjid.

"Masjid yang disenaraikan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat ialah Masjid Dato' Bentara Luar, Jalan Ampuan; Simpang Tiga, Parit Sulong; Parit Besar; Tongkang Pecah; Tunggul Hitam, Parit Kaspan; Parit Samijan, Parit Raja; Parit Bilal; Parit Lahak dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

"Bagi surau pula membabitkan Surau Batu 7, Tongkang Pecah; Taman Bukit Pasir; Muhajirin, Bandar Putera Indah Tongkang Pecah; An-Nur, Bandar Putera Indah Tongkang Pecah; Al-Khauthar, Taman Banang Jaya; Taman Penggaram; Kampung Johor; Al-Azim, Taman Bukit Perdana dan Parit Semarang Darat.

"Surau turut merangkumi Surau Taman Seri Wangsa, Parit Besar; Al-Ikhsan, Parit Raja Darat; Omar Al-Khattab, Jalan Omar; Al-Rahman, Taman Abd Rahman Jaafar; Hajjah Fatimah Lorong 7, Tongkang Pecah; At-Taqwa, Taman Putera Indah; Taman Broleh; musolla dalam AEON Big dan Parit Semarang," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, seluruh masjid dan surau lain yang dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah berkenaan dibenarkan solat fardu lima waktu dan solat Jumaat, dengan kapasiti satu pertiga mengikut keluasan bangunan.

"Bagaimanapun, aktiviti keagamaan seperti kuliah harian, kelas al-Quran, tazkirah, forum, majlis maulid, majlis selawat dan seumpamanya adalah tidak dibenarkan.

"Bagi orang ramai yang tidak dibenarkan melaksanakan solat fardu lima waktu dan solat Jumaat di masjid dan surau hendaklah menyempurnakan solat berkenaan di rumah masing-masing.

"Semua ahli jawatankuasa masjid dan surau, pegawai masjid dan ahli kariah hendaklah mematuhi semua garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ketika melaksanakan solat fardu lima waktu dan solat Jumaat," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seramai 16,300 orang di Tongkang Pecah terbabit dalam PKPB, bermula esok sehingga 13 Disember depan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 10:38 PM