RAKAMAN kejadian yang tular di media sosial.
RAKAMAN kejadian yang tular di media sosial.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 19 lelaki ditahan termasuk seorang lelaki dipercayai berpangkat Datuk selepas terbabit dalam pergaduhan di sebuah pub di Jalan Puchong, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan berlaku pergaduhan di lokasi terbabit, jam 11.20 malam.

"Sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi kemudian menahan 19 lelaki berusia antara 38 hingga 59 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu termasuk seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Datuk.

"Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada kekecohan yang tercetus selepas sekumpulan lelaki yang datang ke pub berkenaan untuk berhibur, namun premis terbabit sudah tutup.

"Seorang koperal polis yang kebetulan berada di lokasi untuk mendapatkan maklumat berkaitan satu kes kebakaran kereta di tempat itu sebelum ini cuba meleraikan kekecohan itu, namun ia bertukar menjadi pergaduhan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Anuar berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar pergaduhan itu.

"Kejadian itu menyebabkan seorang daripada 19 suspek yang ditahan cedera di bahagian muka dipercayai akibat dipukul.

"Semua suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.

Terdahulu, satu hantaran berserta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit 24 saat menunjukkan pergaduhan di antara sekumpulan lelaki tular di media sosial, hari ini.

Hantaran di media sosial itu juga mendakwa seorang lelaki dipercayai berpangkat Datuk memukul seorang anggota polis dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 9:32 AM