GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
M Hifzuddin Ikhsan


Sungai Petani: Guru agama didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan membuat penghantaran komen palsu berkaitan penutupan Balai Polis Sungai Petani pada Oktober lalu.

Tertuduh, Mohd Faiz Basri, 28, mengaku bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan Facebook secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen palsu di Taman Lembah Bujang, Bedong, pada 3.28 petang, 5 Oktober lalu.

Dia didapati membuat komen 'Balai Polis Sungai Petani ditutup sementara ekoran 32 kakitangan disaring dan kini dikuarantin-SP Today' dan 'Kemaskini Balai Polis Sungai Petani ditutup sementara untuk sanitasi ekoran 32 orang iaitu 18 pegawai polis dan staf serta 14 banduan disaring dan kini sedang dikuarantin-SP Today.'

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 dan penjaran maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Galvin Loo Wei Ming, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Faiz dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atasnya berikutan hanya bekerja sebagai guru di sekolah agama selain hanya berpendapatan kira-kira RM500 sebulan akibat dipotong separuh sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dia yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, turut perlu menyara isteri dan dua anak berusia dua dan tiga tahun.

Galvin bagaimanapun, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berikutan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan menyebabkan kegemparan pada orang awam dan balai polis berkenaan tidak pernah ditutup sama sekali.

Azman selepas mengambil kira pengakuan bersalah dibuat tertuduh yang menjimatkan masa dan kos mahkamah, memutuskan hukuman denda RM2,500 dan penjara dua bulan jika dia gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan di kaunter Kompleks Mahkamah Sungai Petani.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 12:38 PM