Muhammad Azwar Mohd Ariff, 13, yang semakin pulih daripada kanser sedang bermain dengan adik dan sepupunya di halaman rumah di Pondok Tok Guru Haji Salleh, Sik. FOTO Ihsan Che Anisah Md Saad
Muhammad Azwar Mohd Ariff, 13, yang semakin pulih daripada kanser sedang bermain dengan adik dan sepupunya di halaman rumah di Pondok Tok Guru Haji Salleh, Sik. FOTO Ihsan Che Anisah Md Saad
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2018, Muhammad Azwar Mohd Ariff, 13, semakin pulih selepas hampir dua tahun menanggung derita akibat ketumbuhan di kepala.

Ibunya, Che Anisah Md Saad, 44, berkata, anaknya itu semakin berisi dengan berat badan 28 kilogram (kg) berbanding 20 kg sebelum ini.

Katanya, Azwar kini juga mampu bermain dengan adik beradik dan sepupunya di luar rumah walaupun penglihatannya hanya samar-samar.

"Dia nampak ceria sekarang. Semasa Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik ( MRI) pada September lalu, doktor beritahu sel kanser di kepalanyasudah hilang namun perlu lakukan imbasan itu sekali lagi pada Januari tahun depan untuk pastikan dia betul-betul sembuh.

"Cuma penglihatannya saja terjejas dan matanya juling kesan pembedahan di kepalanya tahun lalu. Bagaimanapun, Azwar beritahu saya bahawa dia reda hilang penglihatan di dunia dan akan bersabar kerana ingin melihat syurga di akhirat nanti," katanya di Pondok Tok Guru Haji Salleh, Sik ketika dihubungi, hari ini.

Che Anisah yang juga guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) berkata, dia kini sangat berharap doa daripada orang ramai agar Azwar sembuh sepenuhhnya daripada kanser.

Bagaimanapun, dia meluahkan perasaan terkilan apabila ada pihak yang memuat naik berita dan gambar mengenai Azwar sedang sakit baru-baru ini sedangkan anak ketiga daripada lima beradik itu semakin pulih.

"Ia seperti menggambarkan Azwar baru sakit. Saya tak mahu ada pihak ambik kesempatan dengan keadaan Azwar yang dulu, selain itu ia memberi kesan kepada emosi kami sekeluarga seolah-olah Azwar sakit kembali.

"Jadi saya mohon, berhentilah tular kisah Azwar yang dulu dan doakan yang terbaik untuknya, doa pembaca adalah 'bantuan' yang paling baik untuk kami sekeluarga," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Azwar disahkan menghidap ketumbuhan di kepala yang menyekat pengaliran air ke tulang belakang dan doktor melakukan pembedahan menebuk bahagian itu bagi mengeluarkan air, tahun lalu.

Pada majlis Sambutan Maal Hijrah 2018, Azwar yang berkerusi roda, antara penerima anugerah yang disampaikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Berita berkaitan:

  • Demi mengejar cita-citaku...
  • Azwar rindu mengaji al-Quran
  • Azwar semangat nak ke sekolah
  • 'Allah SWT sayangkan Azwar'
  • 'Terima kasih doakan kesembuhan Azwar' [METROTV]
  • Dulu johan Tilawah al-Quran, kini...
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 11:14 AM