Jentera yang dirampas. FOTO ihsan MPS
Jentera yang dirampas. FOTO ihsan MPS
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Gombak: Tindakan individu tidak bertanggungjawab menggunakan tanah di Sungai Pusu di sini, untuk melupuskan sampah secara haram berjaya dikesan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Hasilnya, tiga jentera yang sedang digunakan untuk meratakan tanah berkenaan disita di Rumpun Buana dan kawasan berhampiran Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Sabtu lalu.

MPS memaklumkan, jentera yang disita disyaki digunakan untuk meratakan kawasan dan kemudiannya dijadikan sebagai tapak pembuangan sampah haram.

"Dalam operasi di Rumpun Buana, MPS menyita sebuah jentera ekskavator dan jentolak di tapak pembuangan sampah haram manakala di lokasi kedua, sebuah jengkaut disita ketika sedang membuat kerja tanah tanpa kelulusan.

"Semua tindakan diambil atas kesalahan Seksyen 70A(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, MPS memandang serius isu kerja tanah tanpa kelulusan di kawasan pentadbiran Selayang dan akan terus melaksanakan pemantauan di semua tumpuan.

Tambahnya, MPS juga turut menyeru semua pihak untuk melupuskan sampah di kawasan yang dibenarkan sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 4:32 PM