LRA Sungai Linggi. FOTO arkib NSTP
LRA Sungai Linggi. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri tidak bercadang menutup Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi berikutan loji berkenaan sudah beroperasi di tahap maksimum dengan kapasiti 30 juta gelen sehari.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, LRA Sungai Linggi masih relevan untuk terus beroperasi dan membekalkan air terawat kepada penduduk khususnya di daerah Port Dickson dan sebahagian di Seremban.

"Kerajaan negeri melihat LRA Sungai Linggi masih relevan untuk terus dikekalkan beroperasi kerana sehingga kini LRA itu sudah membekalkan 30 juta gelen sehari.

"Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri juga akan mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan pelanggan terutama penduduk di kawasan Port Dickson sentiasa mendapat bekalan air yang mencukupi pada masa depan.

"Di antara langkah itu termasuk membina sebuah kemudahan Off River Storage (ORS) di Kampung Barisan, yang berada di hilir LRA Sungai Linggi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, satu LRA baharu yang berkapasiti pengeluaran air 55 juta gelen sehari akan dibina di satu kawasan yang sudah dikenal pasti, seiring dengan perancangan ORS di bawah pembiayaan pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

"ORS berkenaan akan disokong dengan pembinaan LRA Ngoi-Ngoi 2 di Seremban yang bakal meningkatkan lagi kapasiti Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) untuk menampung keperluan penduduk dan pembangunan perindustrian di kawasan Seremban dan juga Nilai," katanya.

Mengulas mengenai cadangan setengah pihak supaya satu LRA baharu perlu di bina di Pengkalan Kempas Port Dickson, Aminuddin berkata kedudukan Pengkalan Kempas adalah tidak sesuai.

Beliau berkata, lokasi berkenaan terletak berhampiran dengan laut dan akan meningkatkan kemasinan (salinity) air sewaktu air pasang.

"Peningkatan kemasinan air ini akan meningkatkan lagi kos pemprosesan air mentah.

"Tambahan pula, LRA baharu dengan hanya berkapasiti 15 juta gelen sehari tidak mencukupi untuk menampung permintaan sedia ada sama ada bagi keperluan di Seremban mahupun di Port Dickson, malah, hasrat untuk menjual air terawat ke Melaka juga tidak mungkin dapat dipenuhi," katanya.

Baru-baru ini, sebanyak 45,067 akaun pengguna SAINS di sebahagian kawasan Port Dickson dan Seremban khususnya di Rantau mengalami gangguan bekalan air hampir seminggu berikutan operasi LRA Sungai Linggi terhenti.

Ia berikutan runtuhan tebing Sungai Linggi pada 4 November lalu akibat banjir yang mengakibatkan gangguan kepada operasi LRA Sungai Linggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 6:36 PM