DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan untuk menangguhkan perlawanan bola sepak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilakukan selepas mengambil kira ancaman bahaya kepada pemain dan krew terbabit.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai peminat bola sepak dia memahami perasaan dan kemarahan penyokong sukan nombor satu negara itu.

Beliau yang mesra disapa Pak Long, berkata perlawanan bola sepak ini bukanlah dibatalkan tetapi hanya ditangguhkan sehingga tamat PKPB.

"Bukan Pak Long hendak melarang sebarang aktiviti sukan. Tidak! Pak Long faham ramai rakyat Malaysia meminati sukan dan menjadikan sukan bola sepak sebagai pilihan tontonan utama.

"Pak Long sendiri pun penyokong Pahang FA dan #kekalsetia menyokong Chelsea FC," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook miliknya tadi.

Katanya, perlawanan bola sepak, penjarakan sosial adalah mustahil malah berlaku pertembungan dan bersentuhan di atas padang terutamanya lagi dalam keadaan berpeluh.

Beliau berkata, rakyat sudah dimaklumkan dalam PKPB, pertandingan berpasukan tidak dibenarkan malah temasya Sukan Malaysia (Sukma) juga dibatalkan secara sukarela.

"Keputusan ini diambil bagi mengambil kira pelbagai aspek yang jelas untuk kebaikan bersama," katanya.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk menangguhkan perlawanan bola sepak membabitkan liga tempatan sepanjang PKPB.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 4:07 PM