Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. FOTO BERNAMA
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Najib Razak membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan esok, ditangguh sekali lagi berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu, mahkamah menetapkan 14 hingga 17 Disember untuk menyambung semula perbicaraan itu yang sepatutnya berlangsung esok hingga 12 November di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

"Kami telah dimaklumkan mengenai tarikh baharu perbicaraan itu oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Azura Mohd Saad melalui e-mel pagi ini," katanya.

Apabila perbicaraan disambung semula, pihak pembelaan dijangka meneruskan soal balas ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman.

Pada 5 Oktober lalu, mahkamah menangguhkan perbicaraan ke 19 Oktober selepas membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk menunda kes berkenaan kerana bekas perdana menteri itu menjalani kuarantin dua minggu selepas pulang berkempen untuk Pilihan Raya Negeri di Sabah.

Mahkamah kemudian menjadualkan semula tarikh perbicaraan kepada esok susulan pelaksanaan PKPB.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 3:05 PM