GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Tiga kaedah boleh dipertimbangkan kerajaan berbanding membuat keputusan menunda tarikh peperiksaan awam akibat kesan pandemik Covid-19.

Pakar pendidikan, Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed berkata, penundaan tarikh peperiksaan awam dilihat bukan cara terbaik bagi menyelesaikan masalah sedia ada berikutan terdapat kaedah lain lebih praktikal selari dengan situasi Covid-19 yang sukar diramal.

"Ada banyak perkara perlu disemak semula, pertamanya apakah tujuan kita menunda peperiksaan itu? Adakah kerana guru belum habis mengajar apa yang ada dalam kurikulum atau pelajar belum bersedia menjalani peperiksaan itu?

"Keduanya, kita sepatutnya kurang bergantung mengukur kebolehan dan pencapaian pelajar melalui peperiksaan sumatif semata-mata," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, kaedah penilaian seharusnya diubah selari dengan motif untuk menguji pemahaman pelajar, bukannya berorientasikan peperiksaan semata-mata.

Menurutnya, sistem pengukuran cara memastikan pemahaman pelajar perlu diubah kepada penilaian secara berterusan kerana itu perlu ada kaedah ujian dalam talian onsite di tempat dikhususkan mahupun offsite di rumah masing-masing bersesuaian dengan kaedah home- based learning dilakukan ketika ini.

"Guru pula perlu ubah mentaliti daripada menjadi pensyarah dalam kelas kepada fasilitator dalam talian dan pengawas pembelajaran dengan membekalkan bahan dan silibus berkaitan.

"Ujian kecekapan (ujian berterusan atas talian untuk topik setiap subjek perlu disediakan dan pelajar boleh mengambilnya pada bila-bila masa mereka rasa bersedia, jadi peperiksaan dapat diteruskan tidak semestinya perlu ditunda.

"Satu lagi kaedah adalah pengubahsuaian soalan penilaian boleh dilakukan bagi memastikan peperiksaan awam ini diteruskan mengikut jadual sedia ada.

"Saya sarankan, buat semula soalan ujian baharu yang hanya mengambil kira sebahagian daripada kurikulum saja, misalnya jika sesuatu subjek itu mengandungi 100 topik, hanya mengambil sebahagian daripadanya saja sesuai dengan keadaan sekarang," katanya.

Beliau berkata, selain kemungkinan boleh mengadakan 'open book test' dan soalan lebih kepada kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) untuk menilai tahap kebolehan dan kemampuan pelajar.

"Bagi saya, tidak relevan peperiksaan awam ditunda kerana andainya suasana Covid-19 ini masih tidak reda tahun depan, adakah ia akan ditunda lagi?.

"Majlis Peperiksaan Malaysia dan Lembaga Peperiksaan mempunyai masa yang banyak dan sepatutnya mereka boleh melihat semula isu ini untuk penambah baikan, namun nampaknya kita hanya menyalin kulit tetapi isinya masih tidak berubah," katanya.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin mengumumkan penundaan peperiksaan awam negara ini kepada Februari dan Mac tahun depan.

Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang baharu akan bermula 22 Februari tahun depan manakala peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan bermula 8 Mac 2021.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 4:15 PM