Hayati Ibrahim dan Maiamalina Mohamed Amin

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menambah baik Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan penyediaan bekalan susu daripada dua kali seminggu sahaja kepada setiap hari persekolahan, membabitkan peruntukan RM420 juta.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu akan disediakan kerajaan dan sebahagian perolehan akan dikhaskan kepada pengeluar susu tempatan.

"Ini bagi memastikan murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah mendapatkan kandungan khasiat harian demi pertumbuhan fizikal dan mental yang menyeluruh," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar bagi Belanjawan 2021 iaitu RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan.

Katanya, bagi memastikan suasana pembelajaran kondusif, sebanyak RM800 juta pula disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan.


"Peruntukan ini juga termasuk kerja-kerja menaik taraf dan membina dewan terbuka atau struktur berbumbung bagi menyediakan tempat berhimpun yang selesa dan selamat di sekolah-sekolah kerajaan.

"Selain itu, kos tambahan sebanyak RM725 juta akan diperuntukkan bagi menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 50 sekolah daif, manakala kerajaan akan melaksanakan 184 projek pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub baharu dengan kos RM120 juta bagi sekolah di luar bandar Sabah dan Sarawak.


  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 5:58 PM