Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Jumlah jemaah solat Jumaat diperluaskan sehingga 1/3 daripada kapasiti dewan solat utama masjid dan surau Jumaat bagi zon hijau dan kuning di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-9 yang bersidang pada 2 November lalu mencapai persetujuan mengenai penambahan bilangan jemaah Solat Jumaat bagi masjid dan surau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Menurutnya, ia juga mengambil kira pandangan serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Dengan menjunjung kasih atas titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, saya memaklumkan bahawa jumlah jemaah solat Jumaat diperluaskan sehingga 1/3 daripada kapasiti dewan solat utama masjid dan surau Jumaat bagi zon hijau dan kuning di Wilayah-Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya).

GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA

"Bagi solat fardu lima waktu di kawasan zon hijau dan kuning, kapasiti yang dibenarkan adalah tidak melebihi 30 jemaah, tertakluk kepada keluasan dewan solat utama masjid dan surau, dengan penjarakan fizikal satu meter antara jemaah," katanya pada sidang media khas Garis Panduan Majlis Akad Nikah dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Peluasan Kapasiti Solat Jumaat, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, bagi Wilayah Persekutuan Labuan yang kini di zon merah, jumlah jemaah solat Jumaat dihadkan kepada 12 orang dan solat lima waktu dihadkan kepada tiga orang.

"Dalam masa sama, aturan ini akan turut dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya sekiranya wujudnya zon merah di kawasan terbabit dan keadaan yang sama berlaku," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 4:33 PM